Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Di tengah resolusi, Gaza kekal jadi medan pembunuhan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN | Hanya beberapa hari yang lalu PBB meluluskan resolusi yang sangat lemah untuk membenarkan lebih banyak makanan dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza yang telah lama menderita.

Ia disambut dengan lakonan sorakan kemenangan yang kosong oleh Barat yang munafik seolah-olah penduduk Gaza akhirnya telah diselamatkan.

Ia merupakan tirai asap palsu, atau smoke bomb, yang bertujuan mengelirukan untuk menyembunyikan isu kehidupan dan kematian yang masih berterusan yang lebih serius bagi rakyat Palestin.

Resolusi untuk peningkatan bantuan telah diluluskan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan tanpa sebarang gencatan senjata, sama ada sementara atau kekal, yang diluluskan.

Ia tidak memerlukan seorang genius untuk faham bahawa tidak ada cara yang berkesan atau mungkin tiada bantuan sama sekali yang boleh disalurkan di tengah serangan bom bertalu talu yang berterusan oleh tentera Israel.

Apa gunanya peningkatan bantuan kepada penduduk Gaza yang putus asa, yang lapar dan melarat, jika tiada apa-apa cara penghantaran yang boleh dilakukan kerana serangan bom yang terus-menerus dan ganas.

Selain meluluskan peningkatan bantuan kepada penduduk Gaza, Amerika Syarikat pada masa sama juga meluluskan penghantaran bom dan senjata tanpa henti kepada Israel untuk meneruskan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

Ini lah sikap munafik Amerika di mana tangan kanan kononnya menghulur bantuan kemanusiaan sementara tangan kiri terus menghantar bom ke Israel membantu pembunuhan di Gaza.

Ini adalah tindakan kebiadaban yang dunia gagal lihat atau akui.

Sebaliknya, Amerika Syarikat dan Barat tidak mengiringi konvoi bantuan makanan untuk memastikan ia sampai dengan selamat kepada sasaran penduduk Gaza yang menderita.

Sebenarnya Amerika Syarikat dan Barat sedang mengumpulkan pasukan kapal dan tentera untuk mengiringi kapal-kapal barang am Israel untuk memastikan laluan selamat ke Israel yang hidup selesa dan selamat.

Bagi kita semua, pasukan Barat yang sedang mengiringi kapal-kapal ke Israel mungkin mengandungi bahan-bahan yang berkaitan dengan perang, senjata, atau barangan mewah lain yang ditujukan kepada Israel ketika rakyat Palestin kelaparan kerana kekurangan makanan asas atau sedang mati terbunuh.

Seperti yang dinyatakan oleh seorang pegawai kemanusiaan PBB, rakyat Palestin yang nazak, lapar dan sakit sedang terhalang hantaran bantuan yang telah diluluskan oleh PBB, yang pastinya mengetahui bahawa bantuan tidak dapat disalurkan kepada mangsa kecuali terdapat gencatan senjata terdahulu.

Sementara itu, syarikat penghantaran terbesar kedua di dunia, Maersk berbangga mengumumkan bahawa "pasukan tugas serantau antarabangsa" akan menjaga keselamatan dengan mengiringi kapal-kapal yang menghantar barang dan bekalan kepada pihak yang senantiasa cukup diberi makan dan sihat, iaitu pihak yang mengganas di Israel.

Sedangkan rakyat Palestin kelaparan dengan resolusi bantuan tambahan PBB yang diluluskan tetapi terhenti tanpa resolusi yang diperlukan untuk genjatan senjata yang telah ditolak oleh Amerika Syarikat.

Ini adalah tindakan kezaliman terhadap manusia yang besar, dengan kuasa-kuasa besar dunia membenarkan serangan berterusan untuk meneruskan pembunuhan dan juga menghalang penghantaran bantuan.

Hipokrisi terus berlaku sementara dunia menyaksikan secara pasif terhadap pertumpahan darah yang berterusan di "medan pembunuhan" Gaza.


RAJA BAHRIN SHAH Ialah anggota Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.