Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ramuan yang hilang dalam pembentukan bangsa Malaysia

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

ULASAN | Isu identiti bangsa Malaysia sering kali diperkatakan sama ada dalam kalangan intelektual atau masyarakat awam.

Suara sumbang mengenainya sering mengaitkan pergolakan sentimen yang memberi implikasi berterusan terhadap jati diri negara bangsa dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Profesor Emeritus Dr Abdul Rahman Embong (2006) menjustifikasikan isu ini berpunca daripada “prasangka, sikap tidak bertolak ansur dan pelaksanaan dasar yang tidak menghormati dan menghargai kepelbagaian”. Justeru, keadaan ini menyumbang kepada persekitaran konflik politik berterusan dan menyebabkan potensi negara ini sebagai sebuah negara berpotensi tinggi, berdaya saing dan maju terbantut. 

Persoalannya, kenapa situasi ini masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia? Sedangkan pelbagai usaha secara pentadbiran dan propaganda berunsurkan ‘ijmak nasional’ seperti simbol/imej/slogan dipamerkan yang menelan berjuta ringgit bagi memastikan pembentukan negara bangsa Malaysia dapat dimuktamadkan.

Adakah ia berpunca daripada kelemahan pelaksanaan dasar kerajaan atau kebergantungan rakyat terhadap kerangka pragmatik ahli-ahli politik yang menjadikan sentimen perkauman sebagai falsafah politik praktis, atau mungkin kerana kejumudan daya fikir masyarakat Malaysia yang gagal memahami aspirasi negara bangsa melalui neraca epistemologi seperti mana yang dimuktamadkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan digariskan dalam objektif Rukun Negara.

Kecelaruan Negara Bangsa Malaysia

Rustam A Sani dalam bukunya berjudul Ke Mana Nasionalisme Melayu (2004) menyimpulkan proses pembentukan negara bangsa Malaysia dalam keadaan bercelaru, terutama dalam melaksanakan dasar dan budaya politik praktis. Pandangan keras Rustam berkait dengan kecelaruan untuk menterjemahkan model negara bangsa Malaysia dalam kerangka yang sewajarnya. Kegagalan dalam memahami karakter negara bangsa Malaysia menyumbang kepada kecelaruan tersebut, terutama daripada sudut perkembangan potensi setiap kaum yang ada di Malaysia.

Usaha memahami karakter negara bangsa Malaysia perlu merangkumi kesemua kaum dan kelas untuk mendapatkan konsensus tanpa melihat dominasi atau kecenderungan bias mana-mana kaum. Ramuan ini, walaupun dianggap terbaik secara idealnya dengan menunjukkan suatu usaha secara kolektif dan lebih demokratik sifatnya, namun realitinya ia boleh dianggap sebagai kegagalan dalam mengkonstruksi mobilized form of identity bangsa Malaysia.

Hal ini menunjukkan kesukaran untuk menggabungkan solidariti identiti bangsa Malaysia yang memerlukan struktur yang konstruktif, perancangan, dasar yang lebih konsisten, komitmen politik yang lebih telus dan keupayaan setiap kaum di Malaysia dalam memperkukuh asas ekonomi dan integrasi sosiobudaya yang lebih dinamik.

Model negara bangsa Malaysia yang lebih berpusatkan kepada fungsi kelompok elit dan berteraskan sentimen patrimonial kaum mencetuskan polemik yang sama sekali bertentangan dengan ketetapan ideologi Rukun Negara.

Seperti mana yang dihujahkan Profesor LJ Barnes dalam Laporan Barnes 1950 tentang kepentingan mewujudkan sistem pendidikan berteraskan ramuan homogen atau keseragaman dalam aliran yang sama. Sistem pendidikan berbeza aliran berkecenderungan mewujudkan situasi kebangsaan yang bermacam rupa dan kerencaman membawa doktrin berteraskan falsafah lokal atau vernakular yang tentunya memberi impak terhadap bentuk kesepaduan negara bangsa Malaysia. Peringatan Prof. Barnes menunjukkan pembentukan negara bangsa perlu diorientasikan nilai pendidikan yang sama sebagai teras leluhur falsafahnya.

Isu bahasa misalnya masih dianggap sebagai ‘duri dalam daging’ dalam membicarakan setiakawan intipati sesebuah identiti negara bangsa. Rata-rata generasi Malaysia pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih lagi terperangkap dengan kerangka pemikiran imperialisme yang meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa penyatuan’ atau ‘bahasa penutur lokal’.

Dalam konteks ini, model negara bangsa Malaysia seolah-olah teraba-raba mencari ruang dan titik persamaan terutama aspek-aspek fundamental dalam struktur sosiopolitik dan sosiobudaya negara bangsa Malaysia. Menariknya, hal ini semakin ekstrem pasca abad ke-21 yang menyentuh persoalan penggembelengan pelbagai macam kepelbagaian yang memisahkan masyarakat Malaysia yang terus-menerus mewarisi impak warisan sejarah kolonial.

Etnosentrisme dan Persaingan

Etnosentrisme dan persaingan dalam negara bangsa Malaysia timbul akibat daripada pergelutan kelompok elit yang menarik kelompok pertengahan dan bawahan sebagai laskar pertarungan. Dalam kalangan orang Melayu, ‘ketaatan’ dan ‘kesetiaan’ menjadi sebahagian teras pembinaan karakter jiwa bangsa. Malah, orang Melayu dianggap sebagai nukleus dalam komuniti rakyat pelbagai kaum di Malaysia seperti mana yang dihujahkan Profesor Emeritus Dr Khoo Khay Kim.

Walaupun konotasi pandangan Profesor Khoo agak kritikal mengikut perspektif sejarah, tetapi beliau memberi penegasan terhadap kewajaran mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam struktur negara bangsa Malaysia bagi memastikan keseimbangan dan iklim politik di Malaysia terpelihara dan aman.

Hal ini meletakkan weltanschauung (pandangan alam) negara bangsa Malaysia seolah-olah berpusatkan kepada nilai kebangsaan Melayu. Budaya politik di Malaysia menggambarkan seolah-olah konstruksi nilai kebangsaan Melayu secara mutlak menzahirkan perbezaan kefahaman yang menjurus kepada salah faham etnosentrisme.

Dari sudut historiografi, kefahaman sebegini merupakan satu bentuk pembinaan yang cenderung kepada ideologizing of identity yang memberi implikasi negatif ke atas masalah pembinaan identiti yang berteraskan etnik. Tambahan lagi, salah faham kefahaman ini sering direncatkan dengan nafsu politik yang menjadikannya sebagai medium untuk meraih laba politik dalam kalangan elit dan perawi politik di negara ini.

Reka bentuk konstruksi negara bangsa Malaysia menggunakan ‘peluru persaingan’ sebagai bidik utamanya. Ia bermula daripada manipulasi sentimen yang menimbulkan semangat ‘keakuan’ setiap kaum yang membentuk fahaman asabiyah masing-masing. Keyakinan diri merasakan berada di pihak yang benar dan menafikan hak keinsanan kaum, kelompok atau kumpulan lain seolah-olah meletakkan sesuatu kaum mempunyai hierarki yang berbeza. Keadaan ini menyumbang deposit tetap kepada persaingan etnosentrisme dalam masyarakat.

Mungkin dalam konteks ini, pandangan Clifford Geertz dalam karyanya The Interpretation of Cultures (1973) mengaitkan sentimen konflik awal sebegini menjuruskan kepada permasalahan revolusi intergratif dalam menongkah krisis etnosentrisme.

Lensa persaingan Melayu dan bukan Melayu terarah kepada tuntutan keadilan, kesaksamaan dan hak. Persaingan ini menyebabkan pelbagai dimensi dikaitkan, walaupun ia tidak secara eksklusifnya berkaitan dengan sesuatu kaum yang lain.

Sebagai contoh, isu yang mempersoalkan kedudukan istimewa sesuatu kaum (kaum Melayu) atau keadilan kaum lain seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dianggap menjadi garis pemisah yang menimbulkan kerumitan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kerumitan ini berlaku akibat kefahaman yang lemah dalam kalangan masyarakat Malaysia terhadap karakter dan nilai kaum masing-masing sama ada secara intrisik atau ekstrisik.

Kefahaman ini, sama ada sedar atau tidak sedar, direka bentuk oleh elit kapitalis bagi memastikan kelompok tersebut terus dilihat relevan untuk memperjuangkan kelompok-kelompok yang mendukungnya. Kesannya, reka bentuk ini menyebabkan bangsa Malaysia terpisah-pisah dengan meletakkan kepentingan kaum masing-masing mendahului kepentingan negara. Dalam keadaan tertentu, dimensi propaganda yang ditonjolkan memberi gambaran ‘sifat kosmetik’, seolah-olah ‘rasa kekitaan’ dilihat utuh dalam kalangan rakyat namun realitinya masih kabur.

Penyelesaian dalam ramuan Bangsa Malaysia

Menuju ulang tahun ke-61 pembentukan Malaysia, ramuan perpaduan bagi mewujudkan identiti negara bangsa perlu digarap secara inklusif dan memerlukan komitmen politik daripada semua pihak yang bertanggungjawab, tanpa mengambil kira ideologi politik, pegangan agama dan identiti kaum.

Hal ini bagi memastikan persoalan politik primordial seperti mana yang pernah diperincikan Abd Ghapa Harun (2017) tentang soal menentukan ‘siapa kita’, ‘siapa dahulu yang berada di sini’ dan ‘ke mana kita akan pergi ke masa hadapan’ diungkapkan secara adil mengikut konteks realiti masyarakat dan perspektif perlembagaan dengan melibatkan kesemua kaum. Persamaan dan perbezaan pandangan perlu dilihat sebagai kekuatan dalam kerangka negara bangsa Malaysia sama ada dalam kalangan masyarakat dewasa, remaja atau kanak-kanak merangkumi dari Perlis hinggalah ke wilayah Sabah.

Usaha ini walaupun mengambil masa yang lama dan pastinya menimbulkan banyak tentangan dan kontradiksi, tetapi keberanian prosesnya perlu bermula dari sekarang bagi membentuk ‘templat naratif nasional’ negara bangsa Malaysia. Usaha ini selari dengan komitmen reformasi secara berstruktur yang ditekankan kerajaan perpaduan kini dan merupakan terjemahan sebenar dalam membentuk kerangka negara bangsa Malaysia yang berpusatkan kepada wajah masyarakat madani yang diimpikan.


DR AHAMAD JAMA' AMIN YANG adalah penyelidik sejarah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman di Jitra, Kedah. Dia boleh dihubungi di [email protected]

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MalaysiaKini.