Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Hidup bersama pesakit buah pinggang

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Maaf kerana tulisan kali ini agak peribadi tentang arwah isteri yang meninggal dunia pada 28 Ogos tahun lalu.

Jika dia masih hidup, tanggal 9 Mac ini adalah tahun ke-16 beliau menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia bersama rakan pesakit dan petugas di pusat dialisis.

Saya juga pernah diundang untuk bertukar pengalaman sebagai ahli keluarga pesakit buah pinggang. Sebuah pusat perubatan kerap menghantar undangan kerana isu ginjal tidak boleh dianggap ringan oleh sesiapa.

Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi serantau tidak terkecuali menerima tempias penyakit yang berpunca daripada gaya hidup semasa.

Sejak disahkan menghidap masalah ginjal pada Jan 2008, isteri saya bukan saja menderita zahir dan batin, dia bahkan menghadapi masalah menjalankan tugas kerana kekangan fizikal.

Menjalani rawatan dialisis CAPD (continuous ambulatory peritoneal dialysis) empat kali sehari bukan mudah. Waktu pagi dan petang terpaksa dialisis di pejabat. Selepas Maghrib dan sebelum Subuh pula jalani dialisis di rumah.

CAPD atau disebut juga sebagai ‘dialisis air’ tidak semudah dijangka. Walaupun tidak perlu menjalani rawatan di pusat dialisis, pesakit perlu menerima rawatan di bilik khas sama ada di rumah atau pejabat.

Ubat dalam bentuk cecair disalurkan ke perut menerusi tiub yang bersambung ke dalam badan. Perut pesakit ditebuk dan dilekatkan saluran tiub untuk memudahkan rawatan CAPD empat kali sehari.

Penulis bersama arwah isteri

Risiko dialisis CAPD ialah mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Pesakit kerap keluar masuk wad kerana masalah kesihatan. Kualiti hidup terjejas dan isteri terpaksa meninggalkan jawatan di sebuah institut pendidikan guru (IPG) kerana tidak mahu membebankan diri dan organisasi.

Sejak 2012 isteri menjalani rawatan hemodialisis dengan pembiayaan bulanan hampir RM3,000 termasuk perkhidmatan pengangkutan. Kos rawatan yang ditanggung kerajaan tidak termasuk ubat harga kayangan, Cinacalcet - Regpara 25mg. Harga ubat ini RM2,937 untuk 100 biji.

Isteri juga dibekalkan Renvela 800mg berharga RM1,264.20 untuk 180 biji. Kedua-dua ubat itu hanya dibekalkan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

Bayangkan pesakit lain yang terpaksa mengeluarkan RM4,201.20 untuk dua ubat ini setiap bulan.

Pesakit buah pinggang mudah terdedah kepada isu kesihatan yang lain. Isteri yang pada awalnya mengalami masalah ginjal akhirnya turut didatangi isu darah tinggi, kencing manis, jantung dan kemudian kanser.

Meningkat setiap tahun

Selepas tiga bulan terlantar di hospital, isteri saya menjadi antara orang yang tercatat dalam statistik kematian pesakit buah pinggang.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan pesakit buah pinggang mencecah 106,000 orang menjelang 2040. Lebih membimbangkan, 30 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda yang berusia bawah 45 tahun.

Sudah tentu ia boleh mendatangkan impak negatif kepada sosioekonomi negara.

Sehingga kini Selangor mencatatkan jumlah pesakit dialisis baru tertinggi iaitu seramai 18 peratus (1,654 orang) selaras dengan kepadatan penduduknya yang tertinggi di Malaysia.

Bayangkan sebuah negeri termaju di Malaysia mempunyai ramai pesakit buah pinggang ketika sepatutnya tenaga dan kepakaran mereka dimanfaatkan dalam pelbagai sektor.

Saya bukan sahaja kehilangan isteri, malah beberapa rakan rapat yang menjadi mangsa masalah buah pinggang. Sutung Umar RS, Azmi Yusof, Jaafar Rahim dan Ahmad Lutfi Othman adalah antara rakan penulis yang tewas kepada masalah buah pinggang.

Hari ini terdapat kira-kira 40,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara. Kajian mendapati kira-kira 8,000 pesakit baru disahkan pada 2018 dan trend ini meningkat saban tahun.

Perkhidmatan Nefrologi KKM, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia melaksanakan pelbagai acara bagi memperkasa kempen meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan buah pinggang.

Di Malaysia tarikh 9 Mac dijadikan Hari Buah Pinggang Sedunia. Komitmen kerajaan adalah jelas kerana masalah ginjal adalah isu nasional yang tidak boleh dipandang ringan.

Detik kian hampir

Kajian mendapati 61 peratus pesakit baru yang memerlukan rawatan dialisis juga menghidap diabetes manakala 16 peratus lagi membawa isu tekanan darah tinggi berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Hari Buah Pinggang Sedunia adalah inisiatif gabungan International Society of Nephrology (ISN) dan International Federation of Kidney Foundations-World Kidney Alliance (IFKF-WKA) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan gaya hidup sihat.

Ia merupakan matlamat murni untuk menggalakkan masyarakat memahami bom jangka yang berlegar dalam isu kesihatan sejagat. Masalah buah pinggang jika tidak ditangani dengan betul akan merebak menjadi isu lain termasuk kes kesihatan, kewangan, pekerjaan dan krisis jati diri.

Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara ada kaitan dengan taraf hidup dan pola pemakanan rakyatnya. Apa yang disebut ‘penyakit moden’ sebenarnya muncul daripada gaya hidup tidak sihat yang membudayakan sebahagian anggota masyarakat.

Pengalaman hampir 16 tahun bersama pesakit buah pinggang sukar dilupakan. Isteri saya mungkin salah seorang pesakit yang mampu lama bertahan.

Lazimnya pesakit ke pusat dialisis menemui ajal selepas beberapa bulan. Isteri saya bersemangat tinggi dan cekal melawan penyakitnya.

Dia berkebun jika tidak ke klinik atau pusat dialisis. Dia membaca, makan angin dan menghadiri majlis sosial ketika kesihatan mengizinkan.

Ketika dimasukkan ke wad pada 2 Jun 2023, hati saya berbisik bahawa detik kami bersama sudah hampir ke penghujung. Wajahnya pucat dan kelihatan terlalu tua.

Dia tidak ceria lagi kerana ditidurkan secara perubatan. Saya membaca Yasin setiap kali melawat dan air matanya menitis ke bantal.

Lebih menyayukan hati ini apabila pakar nefrologi berbincang dengan saya untuk menamatkan rawatan dialisis bagi mengelakkan denyutan jantung semakin kencang.

Saranan itu amat bertentangan dengan kelaziman seseorang pesakit perlu dialisis tiga kali seminggu sepanjang hayat. Hati saya berbisik bahawa keadaan isteri semakin nazak dan tidak boleh menerima rawatan lagi.

Saya pasrah. Ketika roh dan jasad berpisah dari isteri, saya tidak menangis kerana hampir 16 tahun saya menduga keadaan itu akan terjadi. Tulisan ini amat peribadi.

Semoga kita tidak termasuk dalam statistik pesakit buah pinggang yang mencanak saban tahun. Al-Fatihah buat semua yang pergi meninggalkan kita.


IMLAN ADABI adalah wartawan dan penulis sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.