Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Molek jika Muhyiddin lihat rekod sendiri

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KATA MP | Benarkah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dulu lebih bebas dan demokratik berbanding kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim yang didakwanya menekan kebebasan demokrasi?

Saya tidak berhasrat untuk mempertahankan rekod kerajaan Madani dalam soal kebebasan demokrasi.

Pun begitu izinkan saya untuk menyatakan satu fakta mengenai apa yang sesungguhnya berlaku semasa pemerintahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Pada satu hari selepas Subuh saya berlepas dari Johor untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Sesampainya saya di bulatan Jalan Parlimen, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk.

Saya dapati kemudian semua ahli parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar Ibrahim - yang ketika itu menjadi Ahli Parlimen Port Dickson - serta dan Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

Kami diberitahu bahawa parlimen telah digantung dan perdana menteri kelapan - Muhyiddin Yassin - telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Saya selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat, tindakan Muhyiddin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan parlimen.

Sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu yang darurat dan menggantung parlimen, maka saya telah mencabar tindakan presiden Bersatu itu dan kerajaannya.

Saya telah memfailkan tindakan semakan kehakiman (judicial review) ke atas keputusan kerajaan PN mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen.

Saya memohon supaya Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan bahawa proklamasi darurat itu tidak sah.

Permohonan saya itu telah ditolak oleh mahkamah. Saya yang dilatih sebagai seorang peguam tidak mudah menyerah kalah.

Saya ingin membuktikan bahawa tindakan Muhyiddin yang antidemokrasi itu adalah salah.

Kalah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, saya kemudian merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Sekali lagi saya kalah.

Selepas itu saya teruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kes tersebut kini masih berada di situ dan belum selesai.

Jadi apabila dalam Konvensyen Wakil-wakil Rakyat PN hari ini Muhyiddin menuduh kerajaan Madani pimpinan Anwar sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya pengerusi PN itu melihat rekod lampaunya sendiri.


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.