Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Al-Aqsa terus berdarah Ramadan ini

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Masjid al-Aqsa Hari tetap berdarah pada hari pertama Ramadan.

Tentera Zionis membelasah sebahagian jemaah solat tarawih yang kononnya ‘pengganas’ Palestin. Kejadian pada 11 Mac itu tidak memeranjatkan kerana dunia memang arif akan perangai Zionis.

Ia digambarkan dengan simpulan bahasa "lidah Yahudi" – lain cakap lain bikin.

Minggu lalu Israel mengizinkan rakyat Palestin menggunakan Masjid al-Aqsa untuk beribadah. Perdana Menteri Israel,  Benjamin Netanyahu, menyebut Muslim Palestin boleh menggunakan masjid tersebut pada minggu pertama dengan  jaminan keamanan.

Jika aman minggu seterusnya maka al-Aqsa akan terbuka kepada Palestin sehingga Syawal.  

Kononnya setiap minggu akan dilakukan penilaian situasi.  Namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya apabila tentera Zionis bersikap kasar dan biadab terutama terhadap belia di pekarangan masjid.    

Keadaan itu menepati kenyataan Menteri Keamanan Nasional Israel, Itamar Ben Gvir, yang mengatakan penduduk Palestin di Tebing Barat tidak diizinkan masuk ke Baitulmaqdis untuk beribadah sepanjang  Ramadan.

"Kami tidak mahu mengambil risiko. Kami tak mahu membiarkan perayaan untuk Hamas di Bukit Bait Suci," katanya.

Amaran dari Israel

Perang Palestin sudah lima bulan berlaku tanpa sebarang penyelesaian.  Angka kematian dikeluarkan Jabatan Kesihatan Palestin telah melintasi 31,000 orang selain cedera 73,000 lagi.

AS sehingga kini masih berdolak-dalih. Presiden Joe Biden lebih berhati-hati  kerana rakyat negara kuasa besar itu semakin kritikal terhadap pimpinannya. Pilihan raya presiden pada Nov nanti mungkin terkesan dengan perang di Gaza.

Tindakan rejim yang terus mengganas waima pada Ramadan membuktikan Zionis memang tidak berminat mencari penyelesaian. Middle East Monitor  melaporkan  pasukan Israel memukul sejumlah jemaah  di Masjid al-Aqsa.

Ada juga yang dihalang di  gerbang Bab al-Majlis tidak jauh dari masjid suci itu.

Portal Middle East Eye melaporkan Israel hanya mengizinkan kelompok usia tertentu ke tempat ibadah itu. Hanya lelaki  55 tahun ke atas, wanita 50 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah 10 tahun dibenarkan kerana kononnya kurang risiko untuk ‘mengganas’.

Israel mengaitkan Ramadan dengan jihad warga Palestin. Menteri Pertahanan  Yoav Gallant mendakwa pihak berkuasa akan menghormati kebebasan beribadat sepanjang Ramadan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menguji mereka dengan melakukan keganasan.

Gambar hiasan

"Ramadan mungkin bulan jihad dan kami memberi amaran kepada semua orang supaya jangan cuba menguji kami.

"Kami bersedia untuk apa saja dan jangan melakukan kesilapan," katanya dalam klip video di Telegram. Kenyataan terbabit dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketegangan sewaktu Ramadan di pekarangan Masjid al-Aqsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres,  menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan di Sudan sempena permulaan Ramadan.

Dia juga menggesa pembebasan tahanan oleh pejuang Hamas dan penghapusan semua halangan untuk memastikan penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa pada kelajuan dan skala besar ke Gaza.

Reaksi dari Houthi

Pada hari pertama Ramadan juga tentera AS dan Britain menyerang pelabuhan Hodeidah yang dikawal pejuang Houthi Yaman. Stesen televisyen yang dikendalikan Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 17 bedilan terkena   bandar pelabuhan itu serta kawasan lain di pantai barat.

Serangan itu susulan Houthi - yang bersekutu dengan Iran - mula menyerang kapal dagang sejak Nov lalu.  Stesen televisyen Al Masirah tidak menyatakan sasaran serangan tetapi menyatakan empat daripada serangan itu berlaku di pelabuhan Ras Issa.

Di sebalik tindakan ketenteraan AS-British, Houthi meningkatkan siri serangan ke atas kapal dagang di laluan perkapalan paling sibuk di dunia sebagai menandakan solidariti mereka terhadap keganasan di Gaza.

Rabu lalu, tembakan peluru berpandu Houthi membunuh tiga kelasi kapal Barbados, True Confidence, dalam serangan di pelabuhan Aden.

Bedilan itu berlaku beberapa hari selepas kapal kargo Rubymar karam apabila  terkandas kira-kira dua minggu selepas terkena peluru berpandu Houthi pada 18 Feb lalu.

Ekoran ketegangan di situ kapal-kapal terpaksa menggunakan laluan jauh dan mahal di Tanjung Harapan Afrika Selatan untuk mengelakkan Teluk Aden, Laut Merah dan Terusan Suez.

Keadaan yang tidak menentu di Asia Barat memungkinkan perang terbuka tidak dapat dielakkan. Bukan sahaja  AS dan Rusia menjadi dalang di sebalik pergolakan, kapal tentera China juga menghampiri pantai Selatan India sebagai provakasi kenteraan.

China juga dikaitkan sebagai pembekal senjata dan teknologi perang Rusia terhadap Ukraine. Walaupun sebelum ini Beijing menafikan namun kencederungan negara komunis itu tidak dinafikan kerana pernah terlibat dalam kemelut serantau di Laut China Selatan dan Pasifik.

Perang tidak mengenal musim dan angka korban.

Konflik Asia Barat boleh menjadi medan ujian senjata terbaik. Ketika ada pihak mengaitkan Ramadan dengan jihad, jangan lupa kemusnahan dan kehancuran tamadun dunia berpunca daripada sengketa agama, senjata dan perancangan ekonomi.


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan eksekutif Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.