Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pelbagai makna menjadi rakyat Malaysia

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

ULASAN | Isu tentang rintihan individu tidak bernegara kebelakangan ini buat saya terfikir: apa maksud menjadi seorang rakyat Malaysia?

Setiap individu boleh berpegang kepada makna menjadi rakyat Malaysia yang tersendiri. Oleh itu, saya telah menjalankan temu bual santai bersama beberapa orang untuk mengumpul pandangan yang berbeza.

Untuk segelintir, etnik adalah identiti mereka sebagai seorang rakyat Malaysia, misalnya Melayu.

Sejarah tamadun Melayu yang membawa ke kerajaan Melayu lama di Tanah Melayu serta budaya tempatan membuatkan sesetengah masyarakat Melayu berasa menjadi Melayu bermaksud mereka menjadi rakyat Malaysia yang bertapak di Tanah Melayu.

Kalangan masyarakat Cina dan India pula di Malaysia pula merasakan mereka berbeza dengan masyarakat etnik itu di tempat lain. Budaya, bahasa dan gaya hidup mereka berlainan kerana membesar atau lahir di Malaysia. Itu yang membuatkan mereka merasakan Malaysia adalah rumah mereka.

Budaya Melayu sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Banyak elemen dalam budaya, tradisi dan cara hidup Melayu yang dipengaruhi Islam. Oleh itu, ada yang mentakrifkan kerakyatan mereka berdasarkan bangsa dan agama rasmi Malaysia iaitu Melayu-Islam.

“Kalau nak berbakti kepada bangsa, perlu berbakti kepada agama dan negara. Kalau nak berbakti kepada agama, perlu berbakti kepada bangsa dan negara. Bukan bangsa Melayu sahaja kerana Islam tak mengira warna kulit.”

Ada juga yang mengetengahkan Islam sebagai agama yang melangkaui soal kaum Melayu. Kebiasaannya mereka berpandangan lebih inklusif dalam aspek kaum kerana seperti yang dikatakan, Islam tidak mengira warna kulit.

Untuk golongan Peranakan pula, memelihara budaya mereka adalah makna menjadi rakyat Malaysia. Seperti jurugambar Sherman Ong yang memelihara budayanya melalui lensa kamera (Loong, 2016).

Pada masa sama, ramai yang berpegang kepada definisi yang menjaungkaui soal kaum dan agama.

Hak. Hak yang datang bersama apabila menjadi rakyat Malaysia melambangkan kerakyatan tersebut – seperti hak mendapat pendidikan, perubatan, mengundi dan bersuara.

Menurut seorang yang ditemu bual saya, tidak cukup hanya boleh berbahasa dan mengamalkan budaya tempatan. Rakyat perlu ada hak di negara ini untuk menunjukkan yang seseorang itu benar-benar warga Malaysia.

Bagi saya pula, untuk mendapat apa-apa hak seseorang perlu menjadi warganegara. Ini yang terjadi kepada anak-anak tanpa status kewarganegaraan yang dinafikan hak asasi.

Mereka tidak dikira sebagai warga Malaysia kerana tiada dokumen sah walaupun lahir dan membesar di negara ini.

Seorang responden yang berasal dari Sarawak menekankan kepelbagaian dan tanggungjawab dalam menjaga nilai kepelbagaian juga menjadi sebahagian daripada makna sebagai rakyat Malaysia.

Dia berkata: “Menjadi rakyat Malaysia bermaksud terikat kepada rasa kekitaan kepada budaya etnik masing-masing tetapi pada masa sama nilai penyatuan dalam kepelbagaian.”

“Kepebagaian ini menjadi kelebihan dan cabaran.”

“Menjadi rakyat Malaysia bukan tentang menjadi rakyat sahaja, ia datang dengan tanggunggjawab dan hak.”

Kesedaran dan rasa hormat terhadap semua kaum dan agama bukanlah menjadi perkara yang rumit untuk dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Saya ingin kongsikan cerita seorang lagi responden. Dia berkata:

“Kawan india saya beli ayam halal untuk jemput datang rumah semasa Deepavali. Kawan Cina saya pula cari spam halal semata-mata nak saya makan masakan dia.

“Dan kalau saya sembahyang, semua terus senyap. Walaupun saya tak kisah pun jika mereka bercakap secara perlahan.”

“Ini semua berlaku dan tidak janggal sebab dah lama cara hidup kami sebegini, saling menghormati itu sudah menjadi suatu yang semula jadi untuk rakyat Malaysia.”

Rasa kekitaan juga antara makna menjadi rakyat Malaysia. Salah seorang responden berkata mudah untuk rasa kagum dengan negara lain, misalnya Jepun.

Katanya: “Saya baru balik dari Jepun dan semua benda saya kagum.

“Walau macam mana baik sekalipun Jepun, tetap nak balik Malaysia. Saya sayang Malaysia sebab dah dibesarkan dengan cara hidup di sini.”

Keazaman untuk berjasa kepada negara boleh juga menjadi definisi kepada sesetengah individu.

Ada juga daripada responden yang ditemu bual yang mementingkan hal jasa. Menurut Haziq, “Menjadi rakyat Malaysia adalah untuk berbakti, tak kisah dalam bentuk apa sekalipun.”

“Kalau nak kata Islam, itu identiti global. Kalau nak kata Melayu, adakah kalau kaum lain kurang Malaysia?

“Asalkan ada rasa cinta pada negara," katanya.

Bagi sesetengah yang lain, berpegang dan mengamalkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian adalah makna menjadi rakyat Malaysia. Prinsip-prinsip Rukun Negara seharusnya tertanam dalam diri setiap rakyat.

Tetapi saya rasa selain daripada berikrar pada zaman sekolah dahulu, tiada lagi penekanan kepada kepentingan Rukun Negara. Boleh cuba tanya orang di sekeliling jika mereka masih ingat lima rukun itu.

Setiap rakyat Malaysia ada pendapat, nilai dan definsi masing-masing dalam memberi makna kepada kerakyatan mereka. Makna ini pun boleh berubah mengikut masa dan situasi.

Tetapi apa yang penting adalah rasa sayang dan keinginan untuk melakukan yang terbaik untuk negara dalam apa cara sekalipun.


SAFIYUDDIN SABRI ialah pelajar sains politik yang sedang menjalani latihan almiah di Aliran. Artikel di atas pertama kali diterbitkan di Aliran.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.